IQNA

Ibu: Madrasah pertama bagi anak

17:50 - March 23, 2022
Berita ID: 3100909
TEHRAN (IQNA) - Peranan golongan wanita sebagai ‘sekolah’ pertama bagi anak-anak sudah tidak asing lagi, malah ia hendaklah sentiasa diperkukuh, demikian kata Ketua Muslimat PAS Kawasan Tambun, Yusmaliza Yusof.

Jelasnya bagi melahirkan generasi soleh, seorang ibu itu seharusnya terlebih dahulu mempunyai bekalan ilmu dan sentiasa berusaha memperbaiki diri dari semasa ke semasa khususnya dalam penerapan akhlak yang mulia.

“Kita sebagai golongan wanita pastinya mengimpikan anak yang soleh solehah apabila setelah bergelar ibu kelak. Namun sesuatu yang perlu diingati ialah, kita perlu mempersiapkan diri terlebih dahulu. 

“Sebelum melangkah ke alam rumah tangga, persiapkanlah diri dengan bekalan ilmu terutamanya memperbaiki hubungan dengan Allah SWT. Semakin ‘dekat’ kebergantungan seseorang itu dengan rabbnya, (maka) InsyaAllah akhlaknya juga pasti cemerlang,” ujar beliau.

Bukan itu sahaja, malah terangnya ungkapan ‘tangan menghayun buaian bisa menggegar dunia’ tidak asing lagi bagi menunjukkan wanita atau seorang ibu adalah individu yang mampu membentuk anak-anaknya ke arah muslim hakiki. 

Jelasnya, menyedari kepentingan itu, penubuhan Taska Tunas Insan (TASTI) di bawah kelolaan Lajnah Pembangunan Wanita dan Pembangunan Keluarga merupakan bukti bahawa Dewan Muslimat PAS Malaysia sangat mementingkan pendidikan anak sejak dari awal. 

Hal demikian dapat dilihat dengan silibus yang digunakan iaitu menerapkan penghayatan Asmaul Husna dalam kehidupan harian kanak-kanak, sekali gus menjadikan TASTI berbeza dengan taska asuhan lain.

Oleh hal demikian serunya, seluruh golongan wanita perlu menyedari hakikat kepentingan membesarkan anak dengan corak pendidikan Islam ini agar kelak mereka akan menjadi generasi yang bertakwa dan memberi manfaat kepada negara.

Harakahdaily

tanda nama: Ibu madrasah pertama anak
captcha